Hai Adikku……

Dari pagi hingga ke malam…baru kini dia lena.Itupun lena dalam paksaan. 8 biji ubat sehari wajib ditelan…kata doktor. Walaupun aku akan tak berkenan cara doktor yang sangat bergantung kepada ubat-ubatan, demi untuk menenangkan adikku terpaksa juga diberi. Jika tak, entah sampai ke jam berapa mulutnya tak henti bicara. Ditemani dengan alunan ayat Al Quran dan berlapik toto nipis dan bantal Love warna merah jambu sebagai bantal peluknya. Malam ni dia dan Irsyad akan tidur dibilikku. Biliknya bukan takde aircond tapi tak tau kenapa tak selesa dan sejuk macam bilik ku. Sekejap tadi, dia cirit birit dan habis lantai dan seluarnya kena. Aku cakap kenapa tak masuk bilik air. Dia kata dia sakit perut, bukan nak buang air besar. Mendengar jawapannya, nampak sangatlah adikku ini cacat akal. Sakit perut pun tak tau kena pergi bilik air.

Pagi tadi, seawal jam 6 pagi dia dah celik. Seperti biasa dia akan mandi awal pagi. Berpegang kepada janji aku semalam, dia mengajak aku segera bersiap untuk ke HUKM, nak bagi surat berisi helaian kertas yang mengandungi alamat-alamat pusat pemulihan PDK yang pernah dia pergi dulu. Aku cuba melengah-lengah masa hingga ke jam 8 lebih, sebelum jam 9 pagi. Irsyad pun ikut sama. Tiba waktunya, aku pun bawalah dia ke HUKM. Siap menghantar surat, aku mengajaknya untuk sarapan di cafe HUKM. Dia tak nak, tapi aku cakap aku nak makan juga, isi minyak sebelum drive jauh. Irsyad makan bersama aku, makan nasi lemak sambil disuap. Dia hanya ambil air sarsi tin dan telur scrambled. Dah lama dia tak makan macam tu. Selesai pergi, aku mengajak pergi melawat istana negara yang kini jadi muzium diraja. Selesai melawat yang tak sampai setengah jam pun, dia mengadu lapar. Nak makan nandos, tapi tak tau kat mana. Dalam dompetku hanya tinggal rm5 jer. Kena cucuk kt ATM BIMB ni. Sambil drive sambil memikir kat mana nak makan, alih-alih dah masuk jalan lebuhraya KL-Seremban, menghala ke Seremban. Aku pun bagitau, makan kt Alamanda atau IOI lah ya. Tiba-tiba dia ubah fikiran. Nak jumpa En JKM Putrajaya. Lantas dia buat panggilan ke En tersebut. Kesabaran aku agak goyah sedikit masa tu, lantas tangan ku sampai ke pipinya. Memang aku agak hot tempt juga sejak menjak ini. Tapi selepas aku cucuk duit, aku bawa dia jumpa En tu jugak. Dengan ditemani Irsyad dan dia, aku naik ke Aras 6 dimana pejabat En tu berada.

Cantik dan selesa betul pejabat En tu…dalam fikiranku berkira-kira. Jauh beza dengan pejabatku sekarang atau bilik ku yang dulu. En itu berbincang dengan aku mengenai cadangannya untuk menempatkan adikku ke HPJ. Sebelum ini aku dah tau, tapi aku agak resistant. Sebabnya, tempat tu terlalu jauh sangat dari famili terutama mak ayah. Yang akan menjaga dia adalah aku juga. Apa-apa yang berlaku pada dia juga aku atau ayah yang akan cara. Lagi satu, dia cacat akal, bukanlah pesakit PSY seratus peratus. Kalau PSY otak damage terus. Dia tau semua, cuma akalnya kurang. Dia hyperaktif sejak usia 4 tahun. Bila masuk sekolah khas, dia asyik hilang sampai ke KL. Bila dah umur 20 ke atas, dia dah jarang hilang. Tapi selalu masuk wad pulak. Isunya dia bosan dirumah dan nak kerja macam insan normal yang lain. Sejak dia tamat sekolah khas, dah berpuluh kerja dia buat tapi tak lama. Yalah…mana mungkin dia nak disamakan dengan orang biasa buat kerja. Company tau nak margin jer. Jaranglah company nak ambil cacat akal bekerja. PDK pula semua dah masuk dan keluar. Last sekali di PDK Pjaya. Pada awalnya dia seronok ada kawan-kawan, ada aktiviti menarik. Sehingga ke satu hari, moodnya tak baik tapi dia masih ke PDK. Jawabnya dia cuba-cuba untuk mengamuk. Lantas dimasukkan ke wad. Keluar wad, dia pergi ke PDK tapi mulut manusia mana boleh jaga kan. Makcik-makcik yang tak faham adikku mengata dia orang gila. Siapa yang tak bengang. Padahal anak-anak mereka itu lagi cacatnya dari adikku. Selepas insiden itu, adikku “dibuang” dari PDK. Sehingga kini, adikku masih lagi teringat-ingat kawan-kawannya disana. Apakan daya, Allah tak mengizinkan adikku ke sana lagi. Tapi dalam hati aku, semoga orang yang mengata adikku akan insaf akan perbuatannya.

Pengalamanku yang selalu keluar masuk ke wad PSY dimana-mana hospital, orang ini lagi baik dari insan biasa yang mulutnya perangainya tak terjaga. Orang psy tidaklah menakutkan pun. Cuma mungkin ada masa-masanya mereka agresif, macam adikku. Tapi stigma masyarakat khususnya Melayu yang sememangnya Islam itu masih anggap mereka ini gila dan patut dijauhi. Betapa bodohnya yang berfikiran seperti ini. Bagi adikku yang cacat sejak lahir, dia punya kawan ahli masjid dan selalu buat korban setiap kali raya haji dan rajin bersedekah, walaupun dirinya tiada duit. Belum tentu lagi insan biasa seusianya boleh buat macam dia. Semoga Allah Azzawajalla melindungi adikkku dari anasir buruk dan jauh dari hasutan dan gangguan syaitan durjana.

Tidurlah adikku…biar dibuai mimpi indah. Esok kita bicara lagi, seandainya nyawamu masih ada lagi.