Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri – Pendita Zaa’ba

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Subhanallah. Subhanallah. Subhanallah. Segala pujian hanyalah kepada Allah, Tuhan Sekalian Alam. Allah jugalah pemberi rahmat kepada sesiapa jua yang dikehendaki-Nya. Dan Pendita Zaa’ba adalah salah seorang hamba-Nya yang bertuah mendapat rahmat tersebut. Selepas membaca buku karangannya, Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri, walaupun aku baru baca separuh daripada buku itu, aku dapat mengagak bahawa beliau dianugerahi Allah akan kebijaksanaan berfikir,lantaran menulis mengenai apa yang difikirkannya.
Betapa cemburunya aku akan kebolehannya itu. Cuma,aku sedikit kaget bila hanya mendapat tahu mengenai buku ini baru-baru ini sahaja. Kebetulan, ketika itu aku membaca Harakah, keluaran kedua minggu lepas. Sememangnya kini, satu-satunya akhbar yang aku baca sepenuhnya adalah Harakah. Sejak sebelum PRU12 lagi, ayah telah menambah salah satu koleksi akhbar harianya selain BH & Sinar Harian. Secara tak langsung, memberi peluang kepada aku untuk mengetahui berita yang lain daripada lain.
Ketika di dalam keluaran yang aku baca itu, ada berita mengenai temuramah Harakah dengan bekas mufti Perlis iaitu Dr. Asri Zainal Abidin. Dalam wawancara itu, beliau telah memberitahu yang Ungku Aziz, Profesor Diraja telah memberinya buku karangan Pendita Zaa’ba – Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri untuk dibaca dan diteliti. Tiba-tiba, perasaan ingin tahu aku meluap-luap. Apa sebenarnya kandungan buku itu? Apa istimewanya sehingga Profesor Ungku Aziz memberi buku tersebut kepada bekas mufti Perlis itu? Mesti ada bersangkutan dengan latar belakang beliau sebagai orang agama.
Seperti biasa, aku mencari maklumat di internet. Tidak banyak yang aku temui mengenai ringkasan buku tersebut melainkan judulnya sahaja. Ketika itu jugalah terdetik hati aku untuk mencari buku itu di laman web Kedai Buku DBP. Syukur Alhamdulillah buku itu ada dijual hanya dengan harga yang terlalu murah – RM4.40 sahaja!! Yang lebih mahal ialah kos penghantaran. Selang 2 – 3 hari setelah aku memesan di internet, buku itu selamat sampai ke tangan aku. Aku seperti tidak sabar-sabar lagi untuk membacanya.
Kini, telah hampir separuh muka surat buku itu telah aku baca, fahami, teliti dan fikir. Setiap patah perkataan yang ditulis Pendita Zaa’ba amat bermakna. Keaslian tulisan beliau memang tidak dapat disangkal lagi. Ianya hasil dari pemikiran yang telus dan rasional. Beliau sewajarnya layak digelar pendita! Bukan di zamannya sahaja tapi sampai bila-bila. Sayangnya, beliau telahpun menemui Yang Maha Esa terlebih dahulu, yakni sebelum beberapa tahun kemudian aku dilahirkan. Malah, buku tulisan beliau ini juga diterbitkan selepas 8 tahun beliau kembali ke Rahmatullah. Begitulah seperti yang diceritakan didalam pengenalan buku tersebut. Aku merasakan buku ini amat wajar dimiliki oleh setiap Melayu di muka bumi Malaysia ini. Walaupun tajuknya merujuk kepada perangai diri sendiri, tapi skop yang dibincangkan lebih dari itu.
Beliau mengaitkan kepentingan ilmu dengan perangai manusia. Katanya, sesuatu ilmu itu tidak wajar diterima begitu sahaja tanpa menghayati, mendalami terlebih dahulu. Begitu juga dengan amalan kehidupan harian yang banyak terikat dengan adat-adat lama. Semua ini ada kaitan dengan perangai manusia itu sendiri. Beliau bukan sahaja mengemukakan pendapat semata-mata berdasarkan pemikirannya sahaja. Ayat-ayat Al-Quran juga digunakan bagi mengukuhkan pendapat beliau. Adalah jelas beliau bukan sahaja tokoh di bidang bahasa,malah di bidang agama.

Antara kata-kata hikmah beliau didalam buku ini :-
“ Tiap-tiap orang diwajibkan beramal dan beribadat sendiri dengan usaha dan tenaganya sendiri – tidak pernah disuruh ia mengira dirinya itu mesti bergantung kepada doa orang sahaja atau kepada fidyah penebus yang dibuatkan orang sahaja bagi mendapatkan kejayaan dan keselamatanya di akhirat kelak! Tuhan tiada pernah menyuruh kita mesti berharap kepada sedekah tahlil dan bacaan-bacaan Qul Hua’llah dari orang apabila mati kelak!!’’ – m.s. 9
“ Apabila terdapat pada sesuatu bangsa orang yang perangainya kuat bergantung kepada kebolehan dirinya sendiri dan tidak hendak bersokong kepada orang lain bagi endirikan dirinya itu, nescaya majulah mereka dan negeri mereka pun maju bersama-samanya dengan sebab kuat usaha mereka dan bersungguh-sungguh segala kerja mereka itu’’. – m.s. 7
“Kesimpulannya, menurut ajaran Islam tiap-tiap seorang diwajibkan beramal,bekerja,berusaha, dan berjuang (berjihad) sendiri dengan segala kebolehan dan tenaganya jika hendak mendapat kejayaan baik dunia atau akhirat. Maka yang demikian itulah ertinya bergantung kepada diri sendiri dan tidak berharap kepada pertolongan orang’’. – m.s. 13
’’ Walhasil kita sangat-sangatlah berhajat mesti menggalakkan perangai bergantung kepada diri sendiri ini mulai dilatihkan diri masa budak-budak pun lagi. Anak-anak mestilah dilatih perlahan-lahan membiasakan dirinya tahu membuat apa-apa sendiri, tahu berusaha sendiri,tahu menyelenggara dan memutuskan apa-apa halnya sendiri – hingga akhirnya tahu bersendiri dan merdeheka pada segala hal-ehwal yang berhubung dengan dirinya sendiri. ’’ – m.s. 22
’’ Ilmu pengetahuan ialah alat perkakas yang tak boleh tidak bagi bersendiri dalam barang apa-apa cawangan kehidupan pun. Jika di dalam cawangan agama seseorang itu ada ilmu pengetahuan yang cukup untuk jadi alat, maka wajiblah di atasnya menggunakan ilmu pengetahuanya itu bagi memandu akalnya menimbang dan menentukan benar salahnya sesuatu perkara agama yang diterima dan dipegangnya itu sehingga dirasa sah dan puas hati. ’’ – m.s. 34
Nyatalah buku bukan sekadar judulnya di kulit sahaja, tapi isinya yang terlalu bernilai – tidak ada tukaran dengan nilai wang ringgit. Aku rasa harga buku ini wajar lebih mahal dari harga yang dijual. Bak kata adik aku, pendapat tidak boleh dijual beli. Aku juga rasa buku ini wajar dijadikan cenderahati kepada sesiapa jua, lebih baik daripada memberi barang yang tidak ada manfaat kepada akal manusia.
Semoga Allah mencucuri rahmat-Nya keatas roh beliau.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Shafiqolbu

Sampaikanlah walaupun hanya satu ayat !

IslamicAnswers.com: Islamic Advice

Islamic marriage advice and family advice

WordPress.com

WordPress.com is the best place for your personal blog or business site.

%d bloggers like this: